Dan datuk terjumlah pada orang yang beruntung, kerana orang bunian itu berkenan padanya kerana itu dia dilayan, kalau orang bunian tidak berkenan, sudah pasti datuk sesat di dalam hutan berbulan-bulan.
Walaupun begitu, datuk masih dapat menjalinkan silaturahimnya dengan orang bunian dengan baik. Malah dia telah dikira sebagai salah seorang anggota orang bunian. Datuk mendapat tahu semuanya ini menerusi anak perempuan orang tua melalui keris pendek yang di usapnya pada tdiap-tdiap malam jumaat.
"Ingat, buat baik sesama manusia, jangan tamak dalam hidup, bersihkan diri dari perasaan hasad dan dengki," kata perempuan tua itu pada datuk pada suatu malam.
"Saya tahu," jawab datuk. Kemudian perempuan itu menghilangkan diri di tengah-tengah bau kemeyan yang semerbak. Dua minggu kemudian, datuk menghilangkan diri selama seminggu. Seluruh anak buahnya jadi gempar. Masuk minggu yang kedua, datuk pulang dan memberitahu nenek, bahawa dia telah berkahwin dengan orang bunian. Nenek terdiam. Tidak memberikan sebarang komen.
Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di halaman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya dan memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama dia akan mungumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.
Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menzdiarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu. Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyorkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara :
"Usah bimbang, dia akan balik dalam sehari dua ini."
"Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu." Jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.
Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, dia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, dia membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setdia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoal jawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Dia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau dia kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar.
Barang kali esok atau lusa dia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu dia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk.
Perspective in the making
1 day ago